KUALA LUMPUR, 14 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyokong penuh cadangan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik menggantikan sistem konvesional yang sedang digunakan pada masa kini.
“DPPP sebenarnya telah lama mengutarakan isu ini bagi menyelesaikan banyak masalah dan ketempangan yang berlaku dalam sistem pilihan raya di dalam negara,” kata ketuanya, Nasrudin Hasan At-Tantawi.
Katanya, selain daripada melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik, DPPP mengharapkan agar tuntutan undi pos dimansuhkan, daftar pemilih dibersihkan, penggunaan dakwat kekal digunakan dan akses media yang adil kepada semua pai-parti politik turut diberi perhatian oleh pihak SPR.
DPPP, ujarnya melihat alasan yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof tidak cukup kuat dan ia sebenarnya boleh diatasi sekiranya SPR bersungguh-sungguh hendak merealisasikan pembaharuan tersebut.
Secara praktikalnya, tambah beliau apabila pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan ia sama sekali tidak menunjukkan SPR memaksa rakyat untuk mengundi.
“Apakah item yang menunjukkan paksaan ke atas rakyat untuk mengundi sekiranya kaedah ini dilaksanakan perlu dijelaskan dengan lebih terperinci oleh SPR?” katanya.
Tambahnya, tidak perlu pun sehingga terpaksa menggubal undang-undang yang mewajibkan setiap individu itu mengundi kerana SPR hanya perlu melayakkan mereka untuk mengundi secara automatik, bukannya mewajibkan mereka mengundi.
DPPP, ujarnya lagi bersetuju ada kemungkinan peratusan keluar mengundi lebih rendah sekiranya ia dilaksanakan, tetapi apa bezanya dengan peratusan yang tinggi tetapi bilangan yang keluar mengundi itu lebih kurang sama.
Katanya, tidak ada guna peratusan itu diwar-warkan tinggi sedangkan hakikatnya bilangan orang keluar mengundi itu kurang kerana apa yang penting perlu menggalakan orang keluar mengundi lebih ramai dengan memudahkan proses tersebut.
“Sekiranya ada perbezaan alamat bermastautin dan alamat di dalam kad pengenalan, DPPP melihat masalah ini telah pun berlaku pada hari ini dan ia memang perlu diselesaikan,” ujarnya.
Soalnya, ujar beliau bagaimanakah boleh berlaku kekeliruan pada hari mengundi sedangkan SPR telah menentukan tempat pengundi untuk setiap pengundi dan pengundi boleh menyemak status tersebut sebelum hari mengundi lagi.
Menurutnya, di dalam sistem konvesional yang diamalkan pada hari ini pun SPR telah bekerjasama dengan JPN bagi menentukan alamat di dalam borang pendaftaran pemilih selari dengan alamat di dalam kad pengenalan dan kenapa tidak untuk melaksanakan pendaftaran automatik.
SPR, kata beliau lagi hanya perlu bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menentukan kelayakan status mengundi mengikut umur.
“DPPP tidak menafikan, perlaksanaan ini mungkin memerlukan kepada beberapa pindaan peraturan undang-undang, kerja-kerja teknikal, wang dan tenaga yang banyak.
“Tetapi demi untuk melihat proses demokrasi berjalan lancar ia bukan alasan untuk SPR menangguhkan pembaharuan ini,” katanya.
Beliau berkata, usaha perlu dimulakan dan kesungguhan perlu ditunjukkan, bukan hanya bermain dengan alasan semata-mata yang hanya melambatkan proses itu.
“Diharap dengan persetujuan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta pandangan positif oleh Timbalan Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah perkara ini boleh direalisasikan oleh SPR dan pembaharuan segera dilaksanakan bagi melicinkan proses demokrasi dalam negara,” katanya. |
0 comments:
Post a Comment